Tuesday, 6 November 2012

1 MELAYU KURANG MILIKI INSURAN







Menganggap premium sebagai satu beban, menyebabkan ramai di antara masyarakat di negara ini masih memandang ringan terhadap kepentingan memiliki insurans.

Di sebalik kekeliruan tersebut, hakikatnya insurans amat penting dalam membantu seseorang yang dalam kesusahan terutama di saat-saat kudratnya tidak mampu lagi digunakan bagi mencari wang.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd. Noorizzuddin Nooh berkata, kesedaran mengenai kepentingan insurans masih lagi rendah di kalangan masyarakat terutama kaum Melayu. “Ia berbeza dengan kaum lain yang telah melihat kepentingan insurans sejak 10 tahun lalu apabila mengetahui peranannya dalam memberi bantuan jika sebarang masalah berlaku,” jelasnya.

Namun begitu, kata beliau, jumlahnya kini semakin lama semakin bertambah kerana perasaan takut yang digembar-gemburkan oleh sesetengah ejen bagi tujuan menjual insurans. Malah menurut Mohd. Noorizzuddin, usaha yang dilakukan oleh ejen-ejen insurans seperti menceritakan sesuatu musibah penyakit atau kemalangan yang mungkin dihadapi oleh seseorang bagi menggalakkan mereka membeli insurans ketika ini juga masih kurang berjaya.

“Sering kali yang berlaku ialah ia mewujudkan ketakutan dan bukannya kesedaran yang timbul dalam masyarakat bagi merancang kewangan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya. Ketika ini, terdapat pelbagai insurans yang ditawarkan oleh syarikat insurans seperti insurans peribadi, insurans kemalangan sama ada secara konvensional atau takaful di pasaran.

Hakikatnya, wujud tanggapan berbeza terhadap ejen insurans di Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia. “Ejen insurans di AS sering dianggap sebagai penyelamat kerana mereka membawa cek kepada pemegang insurans ketika sakit, kemalangan atau berlaku kematian.

“Namun di Malaysia, ejen insurans dianggap sebagai jurujual yang menjadi mimpi ngeri seolah-olah menggangu hidup mereka tanpa menyedari kepentingan insurans itu,” katanya. Menurut Mohd. Noorizzuddin, perkara itu berlaku disebabkan kerana kurangnya pendidikan pengurusan kewangan yang berkesan. “Jika kesedaran telah muncul sebelum berkeluarga, mungkin kini seseorang itu tidak perlu membayar premium tinggi akibat pelaburan dalam insurans semasa bujangnya,” katanya.

Berkenaan cadangan kerajaan mewajibkan insurans di kalangan semua rakyat di negara ini seperti syarat memiliki kenderaan sebagai menjamin keperluan insurans tersebut, katanya: “Ia adalah pekara sukar, bukan semua orang mampu memiliki insurans.

“Namun bagi yang mampu, insurans bukan hanya satu pelaburan kesihatan dan perubatan sahaja, namun ia adalah satu perancangan kewangan jangka panjang yang bijak,” jelas beliau. Jalan terbaik kata Noorizzuddin, ialah mencadangkan agar pendidikan mengenai kewangan ini diajar di peringkat sekolah lagi.

 

Sumber: Utusan Malaysia, Selasa 20 September 2011.

1 comments:

 

PRUDENTIAL + PRUBSN TAKAFUL Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates